Pages

Wednesday 24 June 2015

Entri 1: Salam Perkenalan

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Google Image




Assalamualaikum pembuka bicara saya pada hari ini. Alhamdulillah setelah sebulan saya mendaftar kelas, baharu kali ini saya berkesempatan dan betul - betul fokus untuk menyiapkan tugasan awal ini.

Izinkan saya memperkenalkan diri. Nama diberi Aliza binti Idris. Saya berasal dari Gombak, Selangor. Merupakan anak kedua pasangan ayah ibu iaitu Idris bin Jabar dan Bahariah binti Zakaria. Pada usia 31 tahun ini alhamdulillah Allah memberi kurniaan 2 orang puteri yang sangat sempurna ciptaanNya. Dan diberi jodoh yang baik iaitu seorang suami bernama Mohd HasrulNizam.

Saya mendapat pendidikan rendah di SK Gombak Setia dan seterusnya ke SMK Seri Gombak. Kemudian saya melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia dalam jurusan Sains Komputer.

Alhamdulillah belum sempat saya menghadiri majlis konvokesyen, saya mendapat tawaran kerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej swasta untuk kursus Teknologi Maklumat. Di  sini saya berpeluang melihat gelagat pelajar yang pelbagai tahap keupayaan menguasai asas penggunaan komputer.

Saya ditugaskan untuk mengajar pelajar yang berusia emas yang rata-rata sudah pencen dan tidak lagi bekerja. Agak mencabar bagi saya untuk menerangkan kepada pelajar-pelajar ini kerana kata mereka komputer bukanlah suatu kebiasaan bagi mereka. Namun saya kagum dengan semangat mereka yang sanggup datang belajar dan bagi mereka, mereka juga tidak mahu ketinggalan dalam dunia IT.  Banyak pengalaman yang dapat saya kutip ketika bekerja di sini. Apatah lagi ini adalah tempat pertama saya mencari rezeki. Saya akan berkongsi lebih pengalaman lagi dalam entri yang akan datang.

Setelah lebih kurang 2 tahun menimba pengalaman di sini, saya meletak jawatn sebagai tenaga pengajar,  saya memohon untuk menjadi guru sandaran dan alhamdulillah permohonan saya berjaya. Suasana mengajar di kolej cuba saya aplikasikan di sekolah tetapi pendekatannya berbeza. Mengajar mereka yang berusia emas tidak sama dengan mengajar anak sekolah. Saya cuba menggunakan pendekatan yang lebih santai dan lebih disenangi pelajar-pelajar ini. Dan kerana ini ramai antara bekas pelajar menjadi rakan saya sekarang.

Apabila memikirkan status jawatan ketika itu berstatus kontrak, saya cuba memohon jawatan pegawai IT di sebuah syarikat telekomunikasi dan juga berjaya diterima. Alam pekerjaan kali ini banyak pengalaman dan pelbagai cabaran yang saya peroleh. Di sini bermulanya saya berjinak dalam dunia bisnes. Saya menjual minyak wangi dan makanan sejuk beku. Alhamdulillah dapat komen yang baik daripada rakan sepejabat. Dari komen dan kata-kata semangat ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mempunyai produk yang boleh diniagakan.

Namun begitu, setelah berumahtangga saya nekad meletak jawatan dan ingin menumpukan perhatian kepada keluarga di samping ingin menjalankan bisnes dari rumah. Maka sekarang saya sedang berusaha memperkenalkan produk makànan melalui online dan dalam masa yang sama dapat menumpukan perhatian kepada keluarga.

Saya mula mencari maklumat mengenai kelas masakan, kursus keusahawanan untuk menambah pengetahuan. Saya gemar mencuba pelbagai resepi masakan dan memberi peluang rakan dan jiran mencuba. Komen dan respon tersebut saya kumpulkan supaya dapat menjadi rujukan saya di masa akan datang. Saya juga sudah berani untuk mengambil tempahan katering untuk pelanggan sekitar kejiranan saya. Alhamdulillah boleh dikatakan setiap minggu saya pasti mendapat tempahan. Dengan inilah bermulanya saya memulakan bisnes makanan dari rumah. Saya juga menghantar produk sejuk beku dan produk bakeri untuk pasaran setempat.  Lebih banyak yang akan saya kongsikan tentangnya di entry selepas ini.

Suasana dan kehidupan sewaktu makan gaji ternyata sangat berbeza dengan kehidupan saya sekarang. Jauh di sudut hati saya ingin berjaya menjadi "surirumah bergaji sendiri". Saya mesti buktikan kepada diri sendiri keputusan meletak jawatan dahulu adalah keputusan yang tepat. Sokongan dan kata-kata semangat daripada suami menjadi pendorong kepada saya. Terima kasih kepada suami yang sanggup mengambil alih tugasan menjaga anak-anak sepanjang saya berkursus.

Sampai di sini dahulu pengenalan diri saya. Di harap saya akan sentiasa konsisten dan istiqamah untuk menulis dan berkongsi dengan anda semua.

Semoga penyertaan saya dalam keluarga besar ABDR menjadi titik permulaan bagi saya lebih maju di masa akan datang. Semoga tunjuk ajar guru saya menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menjadi lebih positif. Saya akhiri nukilan saya dengan Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.