Pages

Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts
Showing posts with label Catatan Pengalaman. Show all posts

Sunday, 1 November 2015

Pengalaman itu sangat berharga.

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Pengalaman itu sangat berharga.

Bagi seorang usahawan, pengalaman jatuh bangun dalam dunia perniagaan, itu adalah suatu yang sangat berharga. Pernah dengar pepatah dunia berniaga , " Rugi itu pasti, untung belum tahu lagi". Ini bermakna, untuk berniaga, kita memang sudah boleh agak kita akan menghadapi kerugian di mana-mana. Tetapi untuk mendapat untung, kita belum boleh tahu lagi. Mungkin untung sedikit sahaja, namun masih kategori untung. Mungkin untungnya berlipat kali ganda. Waktu itu, hati rasa sedikit lega. Boleh senyumlah orang kata.

Sepanjang saya berniaga kecil-kecilan ini, satu pengalaman yang dapat saya peroleh adalah ketika mendapat tempahan makanan sarapan pagi oleh stesyen televisyen Al-Hijrah. Waktu itu, saya baru sahaja mula berniaga. Baru ingin kenal perihal pelanggan. Saya mengambil keputusan untuk cuba menyiapkan tempahan makanan tersebut. Kata suami, " Tak cuba, tak tahu kita boleh atau tak".

Alhamdulillah dapat juga menyediakan makanan untuk krew rancangan Assalamualaikum. Dapat juga bersua dengan pengacara Farah Adeeba dan Amie Sofia. Respon positif dari Kak Farah Adeeba untuk makanan yang kami sediakan, cukup untuk saya menguji kemampuan saya menjalankan bisnes katering. Respon yang baik dapat menaikkan semangat saya berniaga.

Pengalaman  ini akan saya simpan untuk saya meneruskan perniagaan. Saya dapat belajar bagaimana berurusan dengan ramai orang. Percayalah, bisnes makanan banyak ragamnya. Untuk memuaskan hati pelanggan dan menerima sajian kita sebaik mungkin, itu adalah sesuatu yang kita harus belajar dan sentiasa menerima baik buruk komen yang diberi. Terima kasih untuk pengalaman itu.

Wednesday, 29 July 2015

Memupuk minat , Mengembangkan potensi diri

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris



Alhamdulillah,  apabila si anak dara saya mula menunjukkam minat membantu di dapur, ada sahaja yang ditanya, " Ni apa umi?" , " Nak buat masak macam mana umi?". Kadangkala sampai tak terjawab soalan daripada anak sulung saya ini. Aleesya Humaira nama yang diberi suami saya. Keletah anak kecil berumur 4 tahun seringkali menduga kesabaran. Namun dialah peneman setia saya di dapur.

Bak kata seorang pakar motivasi kanak-kanak, anak kecil biasanya akan teruja untuk mencuba apa sahaja yang dilihat menarik. Waktu beginilah sebagai ibubapa memupuk dan mengasah minat anak-anak sesuai dengan tahap umur dan pemikirannya. Jika kita terlalu kerap melarang si anak daripada  berbuat itu ini, dikhuatiri akan membantutkan tahap kecerdasan dan kecergasan si anak. Yang penting kita  mesti memantau dan memberi tunjuk ajar sepanjang proses tumbesarannya.

Begitu juga halnya dalam mengembangkan minat dan potensi kita dalam kehidupan seharian. Kita sering berasa yang kita tidak ada langsung potensi  diri yang boleh diketengahkan. Kita berasa malu untuk menonjolkan kebolehan diri. Sebagai contoh, anda seorang yang gemar bersolek. Anda mempunyai peralatan lengkap. Anda suka bereksperimen solekan-solekan di wajah sendiri. Anda menghadiri kelas solekan, belajar di Youtube, belajar tutorial  di internet. Apa kata jika anda tawarkan potensi anda itu kepada rakan-rakan. Jika ada yang melangsungkan pertunangan, tawarkan khidmat solekan secara percuma. Mana tahu, itu permulaan anda mengembangkan kelebihan anda.

Jika anda berminat dalam membuat kek, apa kata cuba buatkan untuk diberi kepada jiran dan rakan. Minta mereka beri komen hasil air tangan anda itu. Mungkin selepas itu anda akan semakin berani mengambil tempahan. Langkah yang luas bermula dengan langkah yang kecil.

Yakin pada diri sendiri, tonjolkan kebolehan dan kelebihan yang ada ya.