Foto : Aliza binti Idris
Bagaimana memulakan perniagaan makanan?
Masih teringat lagi apabila saya sering diajukan soalan,"Dah berhenti kerja ni, nak buat apa? Jadi surirumah saja ke? Takkan nak duduk saja?", "Duduk rumah jaga anak saja? Tak boring ke?". Pelbagai lagi soalan yang ditanya. Pada mulanya hati kecil ini terusik juga. Tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Apa yang penting, niat saya adalah untuk mendahulukan keluarga.
Sebagai surirumah, setelah selesai kerja rutin setiap pagi, saya akan mula ke dapur. Mencari apa yang boleh dimasak. Ya ,saya sangat suka memasak dan belajar memasak. Setiap hari pasti ada menu yang akan saya cuba mengikut olahan sendiri dan petua yang diberi. Orang pertama yang akan menjadi juri untuk setiap masakan saya tentulah suami dan anak sulung saya. S aya cuba berjinak-jinak dalam bisnes makanan. Saya merasakan bisnes ini antara yang paling mudah untuk dimulakan. Bak kata seorang guru bisnes yang hebat, untuk memulakan sesuatu perniagaan, kita perlu bermula dengan menggunakan apa yang ada ditangan. Belajar menggunakan modal paling minima yang kita ada.
Masih segar diingatan saya, tempahan makanan yang pertama saya terima hanyalah 30 bungkus bihun goreng dan 50 biji karipap. Dengan hanya menggunakan apa sahaja peralatan di dapur saya, saya berjaya menyiapkan tempahan yang diminta. Bagaimana ia bermula? Semuanya bermula apabila kakak meminta saya menyediakan juadah untuk dibawa ke pejabatnya. Dan daripada situ kakak mempromosi hasil masakan saya. Alhamdulillah Allah membuka jalan yang lebih luas selepas itu. Setiap kali ada acara di pejabat kakak, pihak pengurusan syarikat akan menempah makanan daripada saya. Saya akan cuba menyediakan menu yang ditempah mengikut bajet yang ditetapkan.
Saya merasakan mungkin ini adalah antara cabang bisnes yang saya boleh terokai. Sedikit kemahiran yang saya ada ini dapat saya gunakan untuk menjadi sumber pendapatan. Setiap kali saya dapat menyiapkan tempahan saya akan muat naik di laman FB saya sebagai cara promosi dan memberitahu rakan-rakan tentang bisnes kecil-kecilan saya.
Dek kerana minat mendalam dalam bidang masakan, blog masakan dan buku resepi menjadi tatapan setiap hari. Saya menyuarakan hasrat untuk mengembangkan lebih sedikit perniagaan ini kepada suami, dan alhamdulillah suami menyokong kuat cita-cita saya. Dia juga membantu mempromosi perkhidmatan yang ada. Berkat sokongan suami , saya menjadi lebih yakin untuk menerima tempahan katering untuk pelbagai acara seperti jamuan makan di pejabat, majlis hari jadi dan majlis pertunangan untuk tetamu 100 orang.
Saya percaya untuk memulakan perniagaan makanan dari rumah sangat mudah. Mulakan dengan memberi keluarga dan jiran terdekat untuk mencuba air tangan kita. Yang penting kualiti makanan dan rasa yang sedap boleh menjadikan surirumah sebagai usahawan makanan. Walaupun kecil-kecilan, itu adalah langkah permulaan untuk kita surirumah menjana pendapatan. Mana tahu tempahan katering untuk 100 orang boleh jadi 1000 orang. Tidak mustahil kan?
Sekian coretan saya pada kali ini. Saya akan berkongsi lebih lagi pengetahuan dan pengalaman saya yang tidak seberapa ini pada coretan akan datang.
No comments:
Post a Comment