Pages

Wednesday 29 July 2015

Memupuk minat , Mengembangkan potensi diri

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris



Alhamdulillah,  apabila si anak dara saya mula menunjukkam minat membantu di dapur, ada sahaja yang ditanya, " Ni apa umi?" , " Nak buat masak macam mana umi?". Kadangkala sampai tak terjawab soalan daripada anak sulung saya ini. Aleesya Humaira nama yang diberi suami saya. Keletah anak kecil berumur 4 tahun seringkali menduga kesabaran. Namun dialah peneman setia saya di dapur.

Bak kata seorang pakar motivasi kanak-kanak, anak kecil biasanya akan teruja untuk mencuba apa sahaja yang dilihat menarik. Waktu beginilah sebagai ibubapa memupuk dan mengasah minat anak-anak sesuai dengan tahap umur dan pemikirannya. Jika kita terlalu kerap melarang si anak daripada  berbuat itu ini, dikhuatiri akan membantutkan tahap kecerdasan dan kecergasan si anak. Yang penting kita  mesti memantau dan memberi tunjuk ajar sepanjang proses tumbesarannya.

Begitu juga halnya dalam mengembangkan minat dan potensi kita dalam kehidupan seharian. Kita sering berasa yang kita tidak ada langsung potensi  diri yang boleh diketengahkan. Kita berasa malu untuk menonjolkan kebolehan diri. Sebagai contoh, anda seorang yang gemar bersolek. Anda mempunyai peralatan lengkap. Anda suka bereksperimen solekan-solekan di wajah sendiri. Anda menghadiri kelas solekan, belajar di Youtube, belajar tutorial  di internet. Apa kata jika anda tawarkan potensi anda itu kepada rakan-rakan. Jika ada yang melangsungkan pertunangan, tawarkan khidmat solekan secara percuma. Mana tahu, itu permulaan anda mengembangkan kelebihan anda.

Jika anda berminat dalam membuat kek, apa kata cuba buatkan untuk diberi kepada jiran dan rakan. Minta mereka beri komen hasil air tangan anda itu. Mungkin selepas itu anda akan semakin berani mengambil tempahan. Langkah yang luas bermula dengan langkah yang kecil.

Yakin pada diri sendiri, tonjolkan kebolehan dan kelebihan yang ada ya.


Thursday 9 July 2015

Jom kongsi resepi :Roti Hamlet Sardin

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Roti hamlet sardin pengganti roti john.



Setiap kali tiba bulan Ramadhan, juadah ringkas yang biasa disajikan untuk berbuka ialah roti john. Campuran daging cincang dan telur untuk diletak pada roti sememangnya membangkitkan selera ketika lapar.

Tetapi kali ini, apa kata kita gantikan menu roti john kepada roti hamlet sardin. Pernah dengar roti hamlet sardin? Menu ini saya belajar ketika saya pulang ke kampung suami di Kelantan. Kata suami, Kelantan sangat terkenal dengan pelbagai jenis makanan. Ya, memang tidak boleh dinafikan negeri Kelantan adalah syurga makanan. Pilih sahaja. Macam-macam yang ada.

Jom saya kongsikan bahan-bahannya. Bahan yang ingin digunakan sangat mudah didapati. Kita perlukan:

Bahan-bahan :
Roti hotdog dibelah 2 * jangan sampai putus ye
Salad dan timun * untuk hiasan
Sos cili

Bahan-bahan inti :
1 tin kecil sardin
1 biji kentang dipotong dadu
1 biji telur
2 ulas bawang putih dihiris

Cara membuatnya :
Penyediaan inti.
1. Rebus seketika kentang yang telah dipotong dadu. Apabila siap, ketepikan.
2. Tumis bawang putih yang telah dihiris.
3. Masukkan sardin dan hancurkan sedikit.
4. Kemudian , masukkan kentang yang telah direbus.

Penyediaan roti.
1. Panaskan kuali leper dengan mentega.
2. Pukul sebiji telur dalam mangkuk.
3. Tuangkan telur atas kuali dan letakkan roti hotdog.
4. Setelah masak sapukan permukaan atas roti dengan mentega. Supaya nampak berkilat.
5. Kemudian letakkan timun dan salad.
6. Masukkan inti sardin tadi. Boleh letak sos jika suka.

Sedap dimakan ketika masih panas. Selamat mencuba.


Wednesday 1 July 2015

Bagaimana memulakan perniagaan makanan ?

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Bagaimana memulakan perniagaan makanan?

Assalamualaikum.



Masih teringat lagi apabila saya sering diajukan soalan,"Dah berhenti kerja ni, nak buat apa? Jadi surirumah saja ke? Takkan nak duduk saja?", "Duduk rumah jaga anak saja? Tak boring ke?". Pelbagai lagi soalan yang ditanya. Pada mulanya hati kecil ini terusik juga. Tetapi bak kata pepatah 'alah bisa tegal biasa'. Apa yang penting, niat saya adalah untuk mendahulukan keluarga.

Sebagai surirumah, setelah selesai kerja rutin setiap pagi, saya akan mula ke dapur. Mencari apa yang boleh dimasak. Ya ,saya sangat suka memasak dan belajar memasak. Setiap hari pasti ada menu yang akan saya cuba mengikut olahan sendiri dan petua yang diberi. Orang pertama yang akan menjadi juri untuk setiap masakan saya tentulah suami dan anak sulung saya. S aya cuba berjinak-jinak dalam bisnes makanan. Saya merasakan bisnes ini antara yang paling mudah untuk dimulakan. Bak kata seorang guru bisnes yang hebat, untuk memulakan sesuatu perniagaan, kita perlu bermula dengan menggunakan apa yang ada ditangan. Belajar menggunakan modal paling minima yang kita ada.

Masih segar diingatan saya, tempahan makanan yang pertama saya terima hanyalah 30 bungkus bihun goreng dan 50 biji karipap. Dengan hanya menggunakan apa sahaja peralatan di dapur saya, saya berjaya menyiapkan tempahan yang diminta. Bagaimana ia bermula? Semuanya bermula apabila kakak meminta saya menyediakan juadah untuk dibawa ke pejabatnya. Dan daripada situ kakak mempromosi hasil masakan saya. Alhamdulillah Allah membuka jalan yang lebih luas selepas itu. Setiap kali ada acara di pejabat kakak, pihak pengurusan syarikat akan menempah makanan daripada saya. Saya akan cuba menyediakan menu yang ditempah mengikut bajet yang ditetapkan.

Saya merasakan mungkin ini adalah antara cabang bisnes yang saya boleh terokai. Sedikit kemahiran yang saya ada ini dapat saya gunakan untuk menjadi sumber pendapatan. Setiap kali saya dapat menyiapkan tempahan saya akan muat naik di laman FB saya sebagai cara promosi dan memberitahu rakan-rakan tentang bisnes kecil-kecilan saya.

Dek kerana minat mendalam dalam bidang masakan, blog masakan dan buku resepi menjadi tatapan setiap hari. Saya menyuarakan hasrat untuk mengembangkan lebih sedikit perniagaan ini kepada suami, dan alhamdulillah suami menyokong kuat cita-cita saya. Dia juga membantu mempromosi perkhidmatan yang ada. Berkat sokongan suami , saya menjadi lebih yakin untuk menerima tempahan katering untuk pelbagai acara seperti jamuan makan di pejabat, majlis hari jadi dan majlis pertunangan untuk tetamu 100 orang.

Saya percaya untuk memulakan perniagaan makanan dari rumah sangat mudah. Mulakan dengan memberi keluarga dan jiran terdekat untuk mencuba air tangan kita. Yang penting kualiti makanan dan rasa yang sedap boleh menjadikan surirumah sebagai usahawan makanan. Walaupun kecil-kecilan, itu adalah langkah permulaan untuk kita surirumah menjana pendapatan. Mana tahu tempahan katering untuk 100 orang boleh jadi 1000 orang. Tidak mustahil kan?

Sekian coretan saya pada kali ini. Saya akan berkongsi lebih lagi pengetahuan dan pengalaman saya yang tidak seberapa ini pada coretan akan datang.