Pages

Sunday 28 January 2018

Perlu ke MeTime untuk SuriRumah? Penting ke Me Time?

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Carian Google

Perlu ke MeTime untuk SuriRumah? Penting ke Me Time?




Saya kan selalu baca pasal MeTime kalangan orang perempuan ni. Tak kira la yang dah kahwin ke atau pun masih single. Bila tengok Me Time masing-masing kan,ada jugakla nak rasa Me Time kononnya. Bukan la nak pergi travel mana- mana pun. Bukan juga nak melepak dengan kawan-kawan. Terasa Me Time tu nak buat sesuatu yang saya sangat suka. Saya sangat susah nak tinggalkan anak-anak sebab mereka ni memang dengan saya 24jam. Tambah si Auni saya tu. Ke mana saje nak mengikut. Saya memang tak boleh hilang dari mata dia. Mesti kalut cari. Kadang tu baru saja tutup pintu bilik air, dah gedegang gedegung ketuk pintu tanya Umi buat apa. Ingatkan kalau masuk bilik air tu boleh la Me Time sekejap. Haha takde maknanya. Takkan kesampaian hajat tu. Kadang tu siap suruh buka pintu nak tengok saya buat apa. Nak tengok show agaknya. Hai la anak.



Saya sebolehnya cuba juga cari masa Me Time sendiri. Nak segar angin. Nak caj fikiran. Nak ajak kawan-kawan jumpa, macam tak dapat. Masing-masing ada hal sendiri. Nak travel jauh-jauh makan angin berseorangan lagi lah tak Dah tu saya boleh buat apa? Saya cari Me Time cara saya sendiri, apa lagi kalau bukan join kelas memasak. Haaaa, ini lah Me Time saya. Dapat sekali sekala keluar rumah bersendirian buat apa yang saya suka, memang rasa teruja sangat. Nikmat rasanya. Bukanlah maknanya saya tidak suka duduk di rumah, bukanlah bermaksud saya bosan dengan anak-anak, cuma saya perlu sedikit ruang waktu untuk buat apa yang saya suka. Cari dan curi nafas baru.




Suami juga faham minat saya. Dia tahu kehidupan saya 24 jam melayan anak-anak, menyiapkan 100 peratus keperluan rumah maka dengan senang hatinya dia pasti beri keizinan untuk saya keluar. Dia tahu bila saya keluar menyertai kelas memasak, mesti akan ada idea baru untuk saya keluarkan produk makanan baru. Boleh dibuat jual. Pernah dulu, saya minta izin dia untukjoin kelas masak. Dan dia kata, tak payah la. Kan dah tahu masak. Saya pun terangkan kenapa dia perlu izinkan saya pergi kelas. Pernah dulu saya nak sangat join kelas Lamb Berapi. Cuma nya jauh sangat. Dia kata takpayah la. Saya pun PM cikgu tu untuk join kelas PJJ. Satu persatu saya belajar dari jauh. Saya cuba buat sendiri. Saya bagi dia rasa saya buat jual. Dari situ baru dia yakin dan nampak kesungguhan saya. Kalau nak tahu,menu Lamb Berapi antara produk saya yang selalu ada permintaan.



Suami-suami yang dihormati, berilah peluang isteri lakukan apa yang disukai. Ambillah masa sedikit untuk menguruskan anak-anak. Takpelah kalau terpaksa jadi kuda kalau si anak nak rasa jadi Cowboy. Takpelah kalau terpaksa jadi Dinasour kalau anak anak nak main nyorok nyorok konon takut kan Dinasour. Sebab isteri tuan tuan dah lalui hari hari semua tu dengan anak anak. Ambil lah tugas isteri tuan tuan sekejap.

Sebenarnya banyak kesan baik jika isteri diberi peluang untuk merasa Me Time nya. Saya ada kawan yang kata nya Me Time dia adalah join Fun Run. Suka betul dia join. Tak kira malam ke siang. Mesti nak join. Untungnya, dia dapat kuruskan badan. Slim dan fit. Ada tu kawan saya Me Time nya belajar make up. Sekarang dah boleh ambil job makeup kan pengantin. Macam macam lagi la. Maka, bagus juga beri peluangMe Time pada isteri isteri.


Percayalah apabila isteri happy, keluarga juga akan turut happy. Ibu-ibu pun tak beri arahan macam berkawad hari-hari.A pabila hati isteri tenang, akan terus suburlah rasa kasih sayang antara ahli keluarga.


Friday 12 January 2018

Semangat Baharu 2018

Assalamualaikum W.B.T.

Hai apa khabar kalian semua. Alahai terlalu lama saya biarkan blog ni sepi. 3 tahun tiada perkongsian. Tak konsisten. Saya akui mungkin lebih selesa membuat perkongsian di laman Facebook sampai lupa betapa cerita perkongsian di blog lebih banyak manfaat. Jika ada yang Google "Aliza Idris", eh kan boleh jumpa. Senangkan sebenarnya.

Bayangkan walaupun sepanjang3 tahun ini saya langsung tidak menulis di blog, tetapi masih ada rakan yang sudi membaca, menghubungi saya di Whatsapp bertanya khabar dan meminta saya memberi pendapat bagaimana jika ingin memulakan bisnes daripada rumah. Apabila kerap juga dihubungi insan yang punya minat dan cita-cita sama seperti saya, saya fikir kenapa saya tidak manfaatkan ruangan ini untuk saya berkongsi sedikit sebanyak cerita dan pengalaman saya dalam menjalankan bisnes daripada rumah. Sekurang-kurangnya saya boleh menyebarkan maklumat kepada kalian semua. Dan yang paling penting, dapat memberi dan menaikkan kembali semangat saya untuk memajukan perniagaan saya ini.

Apabila saya suarakan kepada suami, dia pun sangat  setuju untuk saya kembali ke dunia blog. Sayang katanya jika  disia-siakan apa yang saya tahu. Kongsilah kebaikan dengan dunia luar walaupun lokasi saya hanya di rumah. Suami saya selalu bertanya khabar blog saya. Tapi saya selalu beralasan sibuk, tiada idea tiada cerita best boleh dikongsi. Katanya, cubalah.

InsyaAllah saya akan cuba untuk mengambil masa untuk mengemaskini blog ini dari semasa ke semasa. Doakan saya supaya konsisten dan istiqamah. Payah nak konsisten, tapi cubalah. Orang lain boleh, saya pun mesti boleh. Sasaran saya, setiap  kali saya siap bercerita, terus tekan butang PUBLISH. Kalau saya simpan sebagai draft, alamatnya bersawang pula blog saya. Hihi.

Bangkit ALIZA IDRIS.

Friday 4 December 2015

Tips surirumah sentiasa kekal positif.

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Carian Google

Tips surirumah sentiasa kekal positif.


"Haihh, bosannya rasa duduk rumah. Takda apa yang boleh dibuat
selain masak dan jaga anak." Cik puan surirumah sekalian, pernah terdetik rasa sebegini dalam hati ? Mungkin ada masa tertentu tanpa diduga , ada bisikan nakal singgah menyapa. Tambah bilamana emosi tidak stabil, anak-anak meragam dan banyak karenah, pasti ada perasaan ini terbit di hati kecil kita.

Kadangkala, tidak dapat saya nafikan, saya juga berasa seperti itu. Bosan dan penat. Tetapi cepat-cepat saya ketepikan perasaan itu. Astaghfirullah. Kenapa mesti mengeluh. Apa kata cuba lawan perasaan negatif itu. Barulah boleh jadi "SuperMama".

Mungkin kita boleh praktikkan sedikit sebanyak tips untuk sentiasa positif.

Bergaul dengan rakan yang positif.
Walaupun seharian kita berada dirumah bersama anak-anak, dengan teknologi yang luas dan canggih, kita masih dapat mencari kenalan baru. Memilih rakan maya yang sentiasa positif mampu memberikan aura yang baik. Kita sebagai surirumah seharusnya dikelilingi kumpulan sokongan yang baik dan boleh bertukar pendapat. Berkongsi cerita dan pengetahuan  tentang pelbagai cerita mampu sedikit sebanyak menambah nilai positif dalam diri.

Sentiasa menghidupkan impian yang indah setiap hari.
Semua wanita inginkan kehidupan yang indah dan sempurna. Dikelilingi suami dan anak-anak yang bijak dan sihat. Sebagai surirumah, cuba hidupkan impian yang indah setiap hari. Kita perlu yakin hari-hari yang kita lalui itu akan kita sempurnakan sebaik mungkin. Jika kita memasak, kita akan cuba memasak hidangan yang enak dan berkhasiat untuk keluarga. Tak perlu hidang ala hotel, cukuplah kita menyediakan makanan yang baik dan penuh kasih sayang.

Apabila mengemas rumah pula bayangkan kita sedang mencantikkan ruang syurga dalam rumah kita. Syurga itu sangat indah. Kita juga mampu mengindahkan rumah semampu kita. Jika keletihan asyik mengemas sahaja, maklumlah perangai anak kecil, mesti ada barang mainan bersepah situ sini. Tapi, cubalah pujuk dan ajak sekali anak-anak mengemas. Pasti seronok. Saya pasti, menghidupkan impian yang indah ini akan membuatkan kita rasa bersemangat sepanjang masa. Bayangkan jika kita surirumah tiada impian yang indah, nescaya kehidupan seharian pasti membosankan. Suami dan anak-anak  juga akan terkena tempiasnya itu nanti.

Syukur dengan apa yang diperoleh.
Apabila bangun daripada tidur, sentiasa titipkan rasa syukur kepada Yang Maha Esa kerana masih memberikan peluang untuk kita  hidup di muka bumi ini. Lihat wajah-wajah kesayangan kita yang masih tidur itu  dengan penuh kasih sayang. Bersyukuƕ kita berpeluang mendidik dan mengasuh anak-anak dengan cara kita sendiri. Melihat momen indah ketika tumbesaran anak-anak,  saya pasti semua ibu inginkan sedemikian. Jadi kita adalah ibu terpilih tau.

Sampai di sini dahulu perkongsian saya untuk kali ini. Semoga akan bertemu lagi dalam perkongsian akan datang. Doakan saya sentiasa konsisten untuk mengemaskini blog ini ye. Jumpa lagi.




Tuesday 10 November 2015

Tempahan 11.11.15 - Brownies enak terlajak kedut

Tempahan 11.11.15 -Brownies Enak Terlajak Kedut

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Alhamdulillah  diberi kesempatan untuk menyiapkan tempahan daripada pelanggan tetap Puan Amira. Terima kasih Puan Amira kerana menyokong dan mempercayai produk saya. Bermula dengan kenalan di Facebook , kini kami sudah menjadi kawan baik. Terima kasih ya Allah mengizinkan kami berjumpa dan menjadi sahabat.

Menerima kehadiran seseorang sebagai sahabat itu umpama hadiah yang sungguh bernilai. Semoga kita semua akan menjaga hubungan baik sesama rakan.


Untuk membuat tempahan , boleh hubungi saya di
Whatssapp : Aliza 0163334232
Self pickup di Taman Greenwood, Gombak, Selangor 

Sunday 1 November 2015

Pengalaman itu sangat berharga.

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Pengalaman itu sangat berharga.

Bagi seorang usahawan, pengalaman jatuh bangun dalam dunia perniagaan, itu adalah suatu yang sangat berharga. Pernah dengar pepatah dunia berniaga , " Rugi itu pasti, untung belum tahu lagi". Ini bermakna, untuk berniaga, kita memang sudah boleh agak kita akan menghadapi kerugian di mana-mana. Tetapi untuk mendapat untung, kita belum boleh tahu lagi. Mungkin untung sedikit sahaja, namun masih kategori untung. Mungkin untungnya berlipat kali ganda. Waktu itu, hati rasa sedikit lega. Boleh senyumlah orang kata.

Sepanjang saya berniaga kecil-kecilan ini, satu pengalaman yang dapat saya peroleh adalah ketika mendapat tempahan makanan sarapan pagi oleh stesyen televisyen Al-Hijrah. Waktu itu, saya baru sahaja mula berniaga. Baru ingin kenal perihal pelanggan. Saya mengambil keputusan untuk cuba menyiapkan tempahan makanan tersebut. Kata suami, " Tak cuba, tak tahu kita boleh atau tak".

Alhamdulillah dapat juga menyediakan makanan untuk krew rancangan Assalamualaikum. Dapat juga bersua dengan pengacara Farah Adeeba dan Amie Sofia. Respon positif dari Kak Farah Adeeba untuk makanan yang kami sediakan, cukup untuk saya menguji kemampuan saya menjalankan bisnes katering. Respon yang baik dapat menaikkan semangat saya berniaga.

Pengalaman  ini akan saya simpan untuk saya meneruskan perniagaan. Saya dapat belajar bagaimana berurusan dengan ramai orang. Percayalah, bisnes makanan banyak ragamnya. Untuk memuaskan hati pelanggan dan menerima sajian kita sebaik mungkin, itu adalah sesuatu yang kita harus belajar dan sentiasa menerima baik buruk komen yang diberi. Terima kasih untuk pengalaman itu.

Tuesday 20 October 2015

Jangan malu dengan perniagaan HALAL anda

Teks : Aliza Binti Idris
Foto  : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Apabila saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan makanan dari rumah ini, terlalu banyak persoalan bermain di fikiran saya waktu. Kadang-kala saya tidak yakin untuk memperkenalkan produk makanan kepada pelanggan. Saya risau dengan penerimaan mereka. Saya selalu merasakan makanan yang saya sediakan tidak sedap dan tidak menepati selera ramai. Bagi saya, menjual produk berasaskan makanan adalah sangat mencabar. Saya harus memastikan standad rasa makanan mestilah pada tahap yang baik dan konsisten setiap kali tempahan dibuat. Tambahan pula saya bukanlah lulusan bidang masakan, hanya berbekalkan sedikit kebolehan dan keyakinan untuk menjalankan perniagaan makanan.

Hasil bacaan melalui alam maya dan bergaul dengan pengusaha makanan dari serata tempat, akhirnya saya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan. Seperti yang kongsikan dalam entri sebelum ini, tempahan pertama saya hanyalah bihun goreng dan kuih karipap. Dari situ sedikit demi sedikit bangun mencari rentak untuk memasarkan produk saya supaya lebih dikenali walaupun dalam kawasan setempat.

Menjadi seorang usahawan, perasaan MALU seharusnya diletak ketepi. Tidak saya
nafikan, saya sangat malu untuk memulakan perniagaan. Malu membuka mulut untuk memberitahu "Sayalah yang masak makanan ini. Nanti bolehlah tempah dengan saya".  Saya malu mengaku itu hasil masakan saya. Sehinggalah saya menyedari , sikap begitu harus saya kikis jika saya ingin berjaya. "Saya perlu berubah. Tidak ada seorang yang boleh mengubah, jika saya sendiri tidak berusaha dan berinisiatif untuk berubah".

Kenapa perlu malu? Sedangkan saya menjalankan perniagaan halal. Menjual sesuatu yang memberi rasa kenyang kepada orang, itu sesuatu yang sangat baik kan? Jadi buang jauh perasaan malu itu. Malu yang menebal, sedikit sebanyak akan membunuh perasaan ingin berjaya dalam diri kita. Saya selalu berkata kepada diri saya, " Siapa lagi yang bertanggungjawab menjayakan perniagaan ini, jika bukan diri saya sendiri". Jatuh bangun perniagaan ini, saya harus bertanggungjawab ke atasnya.

Jadi saya terus mengiklan perniagaan saya dari hari ke hari. Jika ada jamuan dan kenduri di kawasan kejiranan saya, saya akan membawa buah tangan hasil masakan saya. Biar makanan ini menjadi "jurucakap" saya. Dan Alhamdulillah, makanan saya mampu menjadi wakil saya. Apa yang penting,  jangan malu untuk berniaga.

Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.

Idea bisnes katering kecil-kecilan

Teks : Aliza binti Idris
Foto  : Aliza binti Idris  & Carian Google


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
 Alhamdulillah, sedikit perkongsian saya tentang memulakan bisnes makanan dalam entri sebelum ini membuatkan seorang kenalan baru berkongsi cerita dengan saya. Syukur, ada kenalan yang sudi berkongsi kisah yang sama dengan saya.

Katanya beliau juga seorang surirumah. Sebagai surirumah, kehendak hati tentulah ingin berbelanja itu ini . Katanya lagi untuk meminta-minta daripada suami, rasa tidak sampai hati. Jadi beliau meminta pandangan saya untuk memulakan bisnes dari rumah. Beliau juga seorang yang mempunyai hobi memasak dan kelebihannya memasak menu yang 'simple' tetapi sangat sedap. Saya mencadangkan agar menjadikan hobinya itu sebagai penjana pendapatannya sendiri. Namun begitu, beliau memikirkan soal modal untuk memulakan bisnes.

Memang diakui apa sahaja cabang bisnes yang ingin kita terokai,kita tidak dapat lari daripada mencari modal permulaan. Bagi saya, bisnes makanan dari rumah ini, modal permulaan kita boleh gunakan daripada bayaran deposit 50% daripada pelanggan. Duit itu boleh digunakan untuk membeli barang mentah yang diperlukan. Selebihnya boleh kita peroleh selepas pelanggan menerima tempahan mereka. Untuk katering dari rumah kita tidak memerlukan dapur dan peralatan khas masakan dan sewa tempat khas untuk memasak atau pun pekerja profesional. Jika tempahan untuk 30 orang, rasanya dengan aturan masa yang baik dapat membantu kita menyiapkan tempahan tepat pada masanya.

Diantara idea menu katering yang boleh disediakan adalah seperti menu sarapan pagi. Menu sarapan pagi yang biasa disediakan :

Nasi lemak, kuih 2 jenis, dan minuman panas.

Untuk menu tengahari : Nasi Putih, Ayam Masak Merah, Gulai Kari Daging, Sayur Campur, Buah dan Air.

Menu-menu ini boleh dihidangkan secara buffet dan dibungkus. Untuk hidangan secara buffet, saya akan kongsikan bagaimana memperoleh peralatan cutlery untuk yang baru berjinak-jinak dalam entri akan datang ya. Untuk menu hidangan yang dibungkus, kita tidak memerlukan peralatan hidangan yang banyak, cuma pengurusan masa untuk membungkus sangat penting. Membungkus makanan adalah sedikit rumit dan mengambil masa agak lama jika dilakukan berseorangan.

Untuk permulaan, kita perlu tahu keupayaan diri untuk menyiapkan tempahan tersebut. Dari pengalaman saya sendiri, menyediakan tempahan makanan dalam waktu yang dijanjikan, ia nya sangat penting bagi saya untuk memastikan semua berjalan lancar. Yang paling penting juga bagi saya , rutin terhadap anak-anak pasti saya selesaikan dahulu. Siap sediakan keperluan mereka, barulah saya memulakan langkah ke dapur. Bak kata suami, "Anak-anak kita ini suka mencabar kewibawaan umi. Bila Nampak umi sibuk di dapur, mulalah berperang nak berebut perhatian umi nya. Ada sahaja yang diminta. Lagi umi nak siapkan kerjanya cepat, lagi banyak pula kerenah mereka". Hai lah anak-anak.

Sampai di sini dahulu perkongsian saya. Diharap perkongsian ini boleh memberi idea untuk surirumah sekalian.Jumpa lagi.

Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.