Pages

Monday 19 October 2015

Jom kongsi resepi : Kek Puding Karamel Pelangi

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Jom kongsi resepi : Kek Puding Karamel Pelangi

Sebagai surirumah, seringkali membuatkan saya terfikir apa agaknya menu yang boleh disedikan untuk keluarga. Saya pasti ibu-ibu di luar sana juga teringin menyajikan juadah istimewa untuk anak-anak kan. Untuk ibu bekerja, apa kata hujung minggu ini, kita main masak-masak dengan anak-anak. Mesti mereka seronok. Resepi ini saya gabungkan daripada resepi Puan Azlita( blog Azlita Masam Manis) dan Puan Dr. Raihana(blog RaihannaVanilla).

Jadi, jom saya kongsikan resepi yang sedap ini. Ia agak mudah disediakan, cuma terdapat banyak langkah yang harus dilakukan. Apa lagi, jom kita ke dapur.

Bahan yang diperlukan :

Sediakan loyang 8inci

Bahan 1 : Untuk menyediakan karamel
6 sudu besar Gula

Cara-cara :
1. Masukkan gula dalam non stick pan
2. Panaskan sehingga gula cair dan bertukar warna perang keemasan. Apabila warna bertukar perang, masukkan ke dalam loyang dan gerakkan loyang sehingga karamel meliputi dasar loyang. Ketepikan. Karamel akan mengeras dengan cepat. Jadi hati-hati ya.

Bahan 2 : Untuk menyediakan puding
1 tin Susu cair
5 biji Telur
5 sudu besar Gula kastor
Esen vanilla

Cara-cara :
1. Masukkan telur, gula, esen vanilla ke dalam blender dan putar sebati
2. Masukkan susu cair.
3. Kemudian masukkan adunan ke dalam loyang berisi karamel tadi. Gunakan tapis supaya dapat menghindarkan buih masuk sekali. Ketepikan

Bahan 3 : Untuk menyediakan kek

Adunan 1 :
70 gram Gula kastor
3 biji Telur kuning
135 ml Air
45 ml Minyak masak

Adunan 2 :
140 gram Tepung gandum
1 sudu teh Baking powder

Cara-cara:
1. Pukul telur kuning, minyak dan air sehingga bertukar menjadi warna putih dan gebu
2. Masukkan gula kastor dan pukul hingga kembang.
3. Matikan mixer dan masukkan bahan adunan 2 secara kaedah kaup balik dan ketepikan.

Bahan  4 : Untuk Menyediakan Meringeu
6 biji Putih Telur
70 gram Gula Kastor
Esen Vanilla

1. Kita perlu pastikan semua peralatan betul-betul kering
2. Pukul putih telur sehinggah berbuih
3. Masukkan gula kastor dan pukul menggunakan 'high speed' sehingga adunan kental dan bertanduk(soft peak)

Apabila siap, masukkan sedikit adunan meringue ke dalam adunan kek tadi. Gunakan kaedah kaup balik untuk adunan sebati. Kemudian masukkan semua meringue.

Seterusnya, bahagikan adunan tadi kepada warna kegemaran. Macam saya, saya bahagi kepada 3 warna sahaja. Pink, hijau dan kuning.

Kemudian, dengan menggunakan senduk kecil masukkan adunan berwarna ke dalam loyang berisi adunan pudding dan karamel. Masukkan secara berselang seli sehingga memenuhi loyang. Jangan risau ya, adunan kek tidak akan bercampur dengan adunan puding tadi. Lorekkan menggunakan lidi menjadi bentuk seperti sarang labah-labah.

Kaedah bakar pula, kita akan menggunakan kaedah 'steam bath'. Loyang adunan diletakkan dalam loyang berisi air. Bakar dengan suhu 160 C selama 1 jam.

Setelah kek masak, biarkan seketika. Dengan hati-hati ,terbalik dan keluarkan kek dari loyang. Mungkin akan ada air lebihan dari karamel akan meleleh sedikit, gunakan tisu dan lap sekeliling kek. Ia untuk memastikan , kek tidak menjadi terlalu lembab. Kek ini sangat sesuai dihidangkan ketika sejuk. Kerana bagi saya gabungan pudding dan kek sangat enak dimakan dan serasi dalam setiap suapan ke mulut ketika sejuk. Pahit manis pudding karamel dan gebu lembut kek ini sangat membuai rasa setiap orang yang menikmatinya.

Selamat mencuba ya.









No comments:

Post a Comment