Pages

Tuesday, 20 October 2015

Jangan malu dengan perniagaan HALAL anda

Teks : Aliza Binti Idris
Foto  : Carian Google

Assalamualaikum dan salam sejahtera.


Apabila saya mula berjinak-jinak dengan perniagaan makanan dari rumah ini, terlalu banyak persoalan bermain di fikiran saya waktu. Kadang-kala saya tidak yakin untuk memperkenalkan produk makanan kepada pelanggan. Saya risau dengan penerimaan mereka. Saya selalu merasakan makanan yang saya sediakan tidak sedap dan tidak menepati selera ramai. Bagi saya, menjual produk berasaskan makanan adalah sangat mencabar. Saya harus memastikan standad rasa makanan mestilah pada tahap yang baik dan konsisten setiap kali tempahan dibuat. Tambahan pula saya bukanlah lulusan bidang masakan, hanya berbekalkan sedikit kebolehan dan keyakinan untuk menjalankan perniagaan makanan.

Hasil bacaan melalui alam maya dan bergaul dengan pengusaha makanan dari serata tempat, akhirnya saya memberanikan diri untuk memulakan perniagaan. Seperti yang kongsikan dalam entri sebelum ini, tempahan pertama saya hanyalah bihun goreng dan kuih karipap. Dari situ sedikit demi sedikit bangun mencari rentak untuk memasarkan produk saya supaya lebih dikenali walaupun dalam kawasan setempat.

Menjadi seorang usahawan, perasaan MALU seharusnya diletak ketepi. Tidak saya
nafikan, saya sangat malu untuk memulakan perniagaan. Malu membuka mulut untuk memberitahu "Sayalah yang masak makanan ini. Nanti bolehlah tempah dengan saya".  Saya malu mengaku itu hasil masakan saya. Sehinggalah saya menyedari , sikap begitu harus saya kikis jika saya ingin berjaya. "Saya perlu berubah. Tidak ada seorang yang boleh mengubah, jika saya sendiri tidak berusaha dan berinisiatif untuk berubah".

Kenapa perlu malu? Sedangkan saya menjalankan perniagaan halal. Menjual sesuatu yang memberi rasa kenyang kepada orang, itu sesuatu yang sangat baik kan? Jadi buang jauh perasaan malu itu. Malu yang menebal, sedikit sebanyak akan membunuh perasaan ingin berjaya dalam diri kita. Saya selalu berkata kepada diri saya, " Siapa lagi yang bertanggungjawab menjayakan perniagaan ini, jika bukan diri saya sendiri". Jatuh bangun perniagaan ini, saya harus bertanggungjawab ke atasnya.

Jadi saya terus mengiklan perniagaan saya dari hari ke hari. Jika ada jamuan dan kenduri di kawasan kejiranan saya, saya akan membawa buah tangan hasil masakan saya. Biar makanan ini menjadi "jurucakap" saya. Dan Alhamdulillah, makanan saya mampu menjadi wakil saya. Apa yang penting,  jangan malu untuk berniaga.

Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.

Idea bisnes katering kecil-kecilan

Teks : Aliza binti Idris
Foto  : Aliza binti Idris  & Carian Google


Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
 Alhamdulillah, sedikit perkongsian saya tentang memulakan bisnes makanan dalam entri sebelum ini membuatkan seorang kenalan baru berkongsi cerita dengan saya. Syukur, ada kenalan yang sudi berkongsi kisah yang sama dengan saya.

Katanya beliau juga seorang surirumah. Sebagai surirumah, kehendak hati tentulah ingin berbelanja itu ini . Katanya lagi untuk meminta-minta daripada suami, rasa tidak sampai hati. Jadi beliau meminta pandangan saya untuk memulakan bisnes dari rumah. Beliau juga seorang yang mempunyai hobi memasak dan kelebihannya memasak menu yang 'simple' tetapi sangat sedap. Saya mencadangkan agar menjadikan hobinya itu sebagai penjana pendapatannya sendiri. Namun begitu, beliau memikirkan soal modal untuk memulakan bisnes.

Memang diakui apa sahaja cabang bisnes yang ingin kita terokai,kita tidak dapat lari daripada mencari modal permulaan. Bagi saya, bisnes makanan dari rumah ini, modal permulaan kita boleh gunakan daripada bayaran deposit 50% daripada pelanggan. Duit itu boleh digunakan untuk membeli barang mentah yang diperlukan. Selebihnya boleh kita peroleh selepas pelanggan menerima tempahan mereka. Untuk katering dari rumah kita tidak memerlukan dapur dan peralatan khas masakan dan sewa tempat khas untuk memasak atau pun pekerja profesional. Jika tempahan untuk 30 orang, rasanya dengan aturan masa yang baik dapat membantu kita menyiapkan tempahan tepat pada masanya.

Diantara idea menu katering yang boleh disediakan adalah seperti menu sarapan pagi. Menu sarapan pagi yang biasa disediakan :

Nasi lemak, kuih 2 jenis, dan minuman panas.

Untuk menu tengahari : Nasi Putih, Ayam Masak Merah, Gulai Kari Daging, Sayur Campur, Buah dan Air.

Menu-menu ini boleh dihidangkan secara buffet dan dibungkus. Untuk hidangan secara buffet, saya akan kongsikan bagaimana memperoleh peralatan cutlery untuk yang baru berjinak-jinak dalam entri akan datang ya. Untuk menu hidangan yang dibungkus, kita tidak memerlukan peralatan hidangan yang banyak, cuma pengurusan masa untuk membungkus sangat penting. Membungkus makanan adalah sedikit rumit dan mengambil masa agak lama jika dilakukan berseorangan.

Untuk permulaan, kita perlu tahu keupayaan diri untuk menyiapkan tempahan tersebut. Dari pengalaman saya sendiri, menyediakan tempahan makanan dalam waktu yang dijanjikan, ia nya sangat penting bagi saya untuk memastikan semua berjalan lancar. Yang paling penting juga bagi saya , rutin terhadap anak-anak pasti saya selesaikan dahulu. Siap sediakan keperluan mereka, barulah saya memulakan langkah ke dapur. Bak kata suami, "Anak-anak kita ini suka mencabar kewibawaan umi. Bila Nampak umi sibuk di dapur, mulalah berperang nak berebut perhatian umi nya. Ada sahaja yang diminta. Lagi umi nak siapkan kerjanya cepat, lagi banyak pula kerenah mereka". Hai lah anak-anak.

Sampai di sini dahulu perkongsian saya. Diharap perkongsian ini boleh memberi idea untuk surirumah sekalian.Jumpa lagi.

Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.

Monday, 19 October 2015

Jom kongsi resepi : Kek Puding Karamel Pelangi

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris

Jom kongsi resepi : Kek Puding Karamel Pelangi

Sebagai surirumah, seringkali membuatkan saya terfikir apa agaknya menu yang boleh disedikan untuk keluarga. Saya pasti ibu-ibu di luar sana juga teringin menyajikan juadah istimewa untuk anak-anak kan. Untuk ibu bekerja, apa kata hujung minggu ini, kita main masak-masak dengan anak-anak. Mesti mereka seronok. Resepi ini saya gabungkan daripada resepi Puan Azlita( blog Azlita Masam Manis) dan Puan Dr. Raihana(blog RaihannaVanilla).

Jadi, jom saya kongsikan resepi yang sedap ini. Ia agak mudah disediakan, cuma terdapat banyak langkah yang harus dilakukan. Apa lagi, jom kita ke dapur.

Bahan yang diperlukan :

Sediakan loyang 8inci

Bahan 1 : Untuk menyediakan karamel
6 sudu besar Gula

Cara-cara :
1. Masukkan gula dalam non stick pan
2. Panaskan sehingga gula cair dan bertukar warna perang keemasan. Apabila warna bertukar perang, masukkan ke dalam loyang dan gerakkan loyang sehingga karamel meliputi dasar loyang. Ketepikan. Karamel akan mengeras dengan cepat. Jadi hati-hati ya.

Bahan 2 : Untuk menyediakan puding
1 tin Susu cair
5 biji Telur
5 sudu besar Gula kastor
Esen vanilla

Cara-cara :
1. Masukkan telur, gula, esen vanilla ke dalam blender dan putar sebati
2. Masukkan susu cair.
3. Kemudian masukkan adunan ke dalam loyang berisi karamel tadi. Gunakan tapis supaya dapat menghindarkan buih masuk sekali. Ketepikan

Bahan 3 : Untuk menyediakan kek

Adunan 1 :
70 gram Gula kastor
3 biji Telur kuning
135 ml Air
45 ml Minyak masak

Adunan 2 :
140 gram Tepung gandum
1 sudu teh Baking powder

Cara-cara:
1. Pukul telur kuning, minyak dan air sehingga bertukar menjadi warna putih dan gebu
2. Masukkan gula kastor dan pukul hingga kembang.
3. Matikan mixer dan masukkan bahan adunan 2 secara kaedah kaup balik dan ketepikan.

Bahan  4 : Untuk Menyediakan Meringeu
6 biji Putih Telur
70 gram Gula Kastor
Esen Vanilla

1. Kita perlu pastikan semua peralatan betul-betul kering
2. Pukul putih telur sehinggah berbuih
3. Masukkan gula kastor dan pukul menggunakan 'high speed' sehingga adunan kental dan bertanduk(soft peak)

Apabila siap, masukkan sedikit adunan meringue ke dalam adunan kek tadi. Gunakan kaedah kaup balik untuk adunan sebati. Kemudian masukkan semua meringue.

Seterusnya, bahagikan adunan tadi kepada warna kegemaran. Macam saya, saya bahagi kepada 3 warna sahaja. Pink, hijau dan kuning.

Kemudian, dengan menggunakan senduk kecil masukkan adunan berwarna ke dalam loyang berisi adunan pudding dan karamel. Masukkan secara berselang seli sehingga memenuhi loyang. Jangan risau ya, adunan kek tidak akan bercampur dengan adunan puding tadi. Lorekkan menggunakan lidi menjadi bentuk seperti sarang labah-labah.

Kaedah bakar pula, kita akan menggunakan kaedah 'steam bath'. Loyang adunan diletakkan dalam loyang berisi air. Bakar dengan suhu 160 C selama 1 jam.

Setelah kek masak, biarkan seketika. Dengan hati-hati ,terbalik dan keluarkan kek dari loyang. Mungkin akan ada air lebihan dari karamel akan meleleh sedikit, gunakan tisu dan lap sekeliling kek. Ia untuk memastikan , kek tidak menjadi terlalu lembab. Kek ini sangat sesuai dihidangkan ketika sejuk. Kerana bagi saya gabungan pudding dan kek sangat enak dimakan dan serasi dalam setiap suapan ke mulut ketika sejuk. Pahit manis pudding karamel dan gebu lembut kek ini sangat membuai rasa setiap orang yang menikmatinya.

Selamat mencuba ya.









Wednesday, 14 October 2015

Menempah untuk bersedekah

Menempah untuk bersedekah.

Teks : Aliza binti Idris
Foto :Aliza binti Idris


Assalamualaikum,
Amalan bersedekah sangat dituntut dalam kehidupan seharian kita. Seusia anak kita masih kecil lagi kita wajar mendidik anak-anak  supaya bersedekah. Di samping dapat mengajar mereka untuk lebih menghargai apa yang mereka ada dan berkongsi dengan orang yang lebih memerlukan.

Kita digalakkan berkongsi rezeki dengan orang lain. Mungkin ada yang sesuai kita sedekahkan wang ringgit. Mungkin juga ada yang sesuai kita sedekahkan dalam  bentuk barangan seperti makanan, pakaian atau barang keperluan harian.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : sedekah jariah,atau ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya."(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya).

Alhamdulillah kali ini saya menerima tempahan daripada kenalan sekolah. Katanya tempahan ini adalah untuk disedekahkan kepada anak yatim di kawasan berhampiran rumahnya. Katanya "Anak yatim ini tarafnya sangat istimewa. Menggembirakan hidup mereka adalah sangat dituntut. " Saya mengangguk setuju. Katanya lagi sambil dia dapat bersedekah, dapat juga dia menyokong bisnes saya ini. Alhamdulillah,  mulia sungguh hati mu sahabat. Terima kasih.

Tempahan daripada Puan Iffah.


 Kek Coklat Moist 1kg
Minibites creampuff


Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.

Monday, 28 September 2015

Kursus Pengendalian Makanan : Bahagian 1

Kursus Pengendalian Makanan:
Bahagian 1

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Carian Google


Apa itu kursus pengendalian makanan? Adakah ia penting untuk memulakan perniagaan makanan?

Kursus ini wajib dihadiri oleh semua pengendali makanan di Malaysia. Siapakah mereka yang tergolong di dalam kategori pengendali makanan?

Definisi pengendalian mengikut Akta Makanan 1983 adalah seperti berikut:"
pengendali makanan” termasuklah mana-mana orang yang:
(a) terlibat secara langsung dalam penyediaan makanan;
(b) menyentuh makanan atau permukaan yang menyentuh makanan; dan
(c) mengendalikan makanan yang dibungkus atau tidak dibungkus, atau perkakas.

Ini bermaksud semua orang yang terlibat dalam industri makanan seperti chef, tukang masak, tukang hidang makanan, pemandu lori yang membawa makanan, operator pengeluaran makanan di kilang mahupun penyelia wajib patuh kepada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan dan wajib untuk menghadiri kursus tersebut. (Sumber daripada laman web Kursus Pengendalian Makanan).

Dalam kursus ini, peserta akan diterangkan tentang beberapa modul utama iaitu :
1. Pengenalan
2. Kebersihan Makanan
3. Keselamatan Makanan
4. Faktor – Faktor Kritikal Keracunan Makanan

Kursus  ini dijalankan selama 3 jam oleh penceramah yang bertauliah . Setelah tamat kursus ini, peserta akan diberikan sijil penyertaan.


Pahit Manis Puding Karamel

Pahit Manis Puding Karamel

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris


Dulu saya tidak tahu bagaimana rasanya puding karamel. Saya berasa teruja untuk cuba membuatnya. Ini kerana pada suatu hari suami cerita yang dia ada merasa puding karamel di sebuah majlis.Sedap sangat katanya. Saya pantang kalau dengar ada makanan sedap, mesti berusaha cari cara dan cuba membuatnya.

Saya bertanya rakan-rakan yang tahu bagaimana cara membuatnya. Saya juga mencari resepi dalam internet. Pelbagai cara yang diajar. Puas juga saya mencuba. Dan hasil tidak memuaskan hati. Mungkin ada kesilapan saya yang tidak betul. Akhirnya saya menjumpai sebuah blog.  Saya mengambil peluang bertanya teknik dan cara yang sebenarnya. Alhamdulillah dia senang hati ajar saya. Saya cuba dan terus cuba. Adalah dua kali saya mencuba resepi tersebut dàn dua kali menjadi. Hasilnya sangat baik dan memuaskan hati.

Saya berasa gembira kerana percubaan kali ini sangat berjaya. Apabila hasil yang diperoleh sangat memuaskan, saya jadi teruja untuk menjamu jiran terdekat. Alhamdulillah respon yang saya terima sangat baik. Tambah mengujakan semasa hari raya pertama di rumah emak, saya berpeluang menyediakan juadah ini. Rata-rata tetamu emak memuji keenakan hidangan pencuci mulut ini.

Tanpa saya sangka, dari situ saya mula mendapat tempahan. Syukur.  Buat juga walaupun berkejaran dengan anak kecil. Sekejap intai puding , sekejap intai anak 2 orang ini. Jika dulu saya selalu bagi alasan tidak mahu menerima tempahan. Saya berasa susah dan terbatas dek kerana anak masih kecil. Tetapi saya percaya anak membawa rezeki. Selagi terdaya, lakukan sebaik mungkin. Bak kata emak, "Rezeki dah datang. Saja saja cuba dah boleh buat berniaga. "

Niat mula dengan sedekah menjamu orang makan, alhamdulillah Allah buka jalan lebih luas utk saya berniaga walaupun kecil-kecilan. Pesan suami, "Jangan risau, rezeki Allah yang bagi dan sudah ditetapkan untuk kita. Ada bahagian lebih, sedekah pada orang lain".

Semoga murah rezeki tuan empunya resepi.

Saya sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Whatssapp Aliza 0163334232.







Sunday, 27 September 2015

Semangat Belajar Masak

Semangat Belajar Masak

Teks : Aliza binti Idris
Foto : Aliza binti Idris




"Dulu ambil kursus masakan ke? Masa belajar dulu, ambil jurusan kulinari ye?" . Itu adalah antara soalan yang sering diajukan kepada saya. Rata-rata pelanggan saya akan bertanya soalan ini. Ada yang pelik dan hairan kerana kata mereka, sepatutnya saya layak memegang jawatan yang lebih baik daripada menjalankan bisnes makanan ini. Ya,  memang ada saudara-mara dan kenalan yang mempertikai keputusan saya untuk berhenti kerja dan menjalankan bisnes kecil-kecilan dari rumah.

Kadang-kala kata-kata sebegini menjadikan saya berasa rendah diri. Tetapi  apabila memandang wajah tulus  anak-anak, saya menjadi kuat untuk terus berada di rumah bersama mereka. Alhamdulillah, walaupun berada di rumah, saya masih boleh menjana pendapatan sendiri. Boleh dikatakan setiap hari saya menerima tempahan makanan daripada pelanggan baru dan pelanggan sedia ada.

Apabila terlibat  dengan perniagaan makanan, sedikit sebanyak saya harus menambah skill yang ada. Saya bertuah mempunyai sedikit kebolehan dalam bidang masakan, hasil daripada tunjuk ajar ibu yang juga mahir dalam bidang masakan. Namun begitu, saya masih mencari peluang yang ada untuk pergi menuntut  ilmu masakan bersama pakar.

Bak kata orang, carilah ilmu sebanyak mungkin kerana semakin kita belajar, semakin banyak yang belum kita tahu. Dan sebab itulah kita harus mencari dan menimba ilmu secara berterusan. Dalam bidang masakan, sebenarnya banyak tips dan petua akan diperoleh jika kita rajin bertanya.

Antara kelas masakan yang saya sertai seperti kelas roti, kelas continental kek, kelas makanan sejuk beku dan beberapa kelas masakan lain.

Lain cikgu, lain cara masaknya. Ditambah dengan perkongsian dari rakan kelas. Pelbagai ilmu baru dapat saya peroleh. Di samping itu juga dengan menyertai kelas dapat meluaskan rangkaian  kenalan dan menambah pasaran.


Banyak kelebihan jika rajin belajar memasak. Dapat tambah ilmu dapat juga tambah kenalan. Apabila tambah kenalan, boleh juga kita risik-risik peluang luaskan pasaran.  Mana tahu ada kenalan baru ingin berkongsi rezeki dengan kita, dapat juga kita tempahan makanan. Apa lagi, jom belajar masak.

Sedia menerima tempahan untuk sebarang majlis.
Hubungi saya Aliza
Whatssapp 0163334232
**Tempahan kek, pencuci mulut dan juadah utama.